Apakah Perbezaan Simpanan, Pelaburan dan Perlindungan?
- Dr Kewangan
- Dec 9, 2021
- 3 min read
Updated: Dec 12, 2021

Ramai di kalangan kita masih keliru untuk membezakan mana satu simpanan, pelaburan atau perlindungan. Setiap perkara tersebut adalah berbeza dan mempunyai objektif yang berlainan. Jika anda salah membuat pilihan, perkara buruk mungkin berlaku. Untuk mengetahui lebih lanjut, jom baca posting saya ini. Semoga bermanfaat.
Simpanan
Simpanan merupakan wang yang kita boleh simpan setelah membayar segala perbelanjaan kita. Simpanan ini boleh menjadi banyak jika perbelanjaan kita sedikit. Oleh itu, pengurusan wang adalah sangat penting untuk memastikan simpanan kita banyak. Kegunaan utama simpanan ini adalah sebagai emergency fund (tabung kecemasan). Sebagai contoh, untuk kegunaan jika berlaku tayar pancit, motor rosak, tv rosak dan sebagainya. Iaitu mana-mana perbelanjaan yang kita tidak dapat jangka. Tempat terbaik untuk menyimpan bagi emergency fund ini adalah di ASB, Tabung Haji, Fixed Deposit dan sebagainya yang kita boleh bawa keluar duit dengan cepat dan selamat. Emergency fund ini wajib kita ada sekurang kurangnya sebanyak 12 bulan perbelanjaan kita. Sebagai contoh, jika perbelanjaan bulanan kita adalah RM2000, jadi, emergency fund kita perlu ada adalah sebanyak RM24,000.
2. Pelaburan
Pelaburan adalah tempat untuk mengembangkan lagi duit kita. Ianya berbeza dengan simpanan yang hanya untuk kegunaan kecemasan sahaja. Pelaburan mempunyai risiko mereka tersendiri iaitu risiko rendah dan risiko tinggi. Semakin tinggi risiko pelaburan tersebut, semakin tinggi pulangannya. Oleh itu, ilmu pengetahuan tentang pelaburan adalah sangat penting sebelum kita melabur duit kita. Pelaburan risiko rendah adalah seperti di ASB Financing, emas, sukuk dan unit trust (dana risiko rendah). Manakala pelaburan risiko tinggi adalah seperti hartanah, unit trust dan pasaran saham. Unit trust mempunyai dana dana yang berisiko rendah dan tinggi. Anda boleh pilih mengikut objektif anda. Cakap berkaitan objektif, pelaburan mempunyai objektif tersendiri. Anda wajib mempunyai objektif sebelum membuat sebarang pelaburan. Objektif pelaburan terbahagi kepada dua iaitu objektif jangka pendek dan jangka panjang. Objektif jangka pendek adalah seperti mengumpul deposit rumah, duit perkahwinan, dan sebangainya. Manakala bagi objektif jangka panjang adalah seperti duit untuk persaraan, duit pendidikan anak, duit pergi haji dan sebagainya. Oleh itu, anda harus pilih tempat pelaburan yang tepat untuk mencapai objektif anda tersebut.
3.Perlindungan
Perlindungan pula adalah untuk melindungi semua simpanan dan pelaburan kita jika berlaku sebarang musibah. Ramai yang masih kurang jelas mengenai perbezaan antara insurans dan takaful. Insurans adalah produk konvensional dan hukumnya HARAM bagi umat islam. Manakala takaful pula adalah produk islamik yang bersifat tolong-menolong antara satu sama lain. Caruman yang kita bayar bulan-bulan akan dimasukkan ke dalam tabung tabarru'. Tabarru' ini bermaksud derma. Jadi setiap bulan kita telah menderma secara wajib. Jika berlaku musibah kepada para peserta, wang didalam tabung tabarru' ini akan digunakan sebagai sumbangan. Konsepnya sama macam tabung khairat kematian. Berbalik semula pada topik perlindungan kita, pelan perlindungan yang wajib kita ada adalah pelan hibah dan medical card. Kedua duanya mempunyai kegunaan yang berbeza. Hibah bertujuan untuk menyediakan dana bagi kelangsungan hidup waris kita jika berlaku kematian pada diri kita. Keluarga kita tidak akan terbeban dari aspek kewangan dan boleh menjamin anak-anak kita untuk meneruskan pengajian tanpa masalah kewangan. Ianya juga boleh berfungsi sebagai pengganti pendapatan jika berlaku cacat kekal pada diri kita. Manakala medical card pula, ianya bertujuan untuk membayar semua kos di hospital jika kita ditimpa musibah. Oleh itu, kedua duanya amat penting untuk kita miliki.
Maka, kita haruslah mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kegunaan kecemasan, pelaburan untuk mencapai objektif kehidupan kita dan tidak lupa juga, pelan takaful untuk melindungi semua simpanan dan pelaburan kita tersebut. Saya berharap anda semua dapat memahami dengan jelas daripada perkongsian saya ini.
SEKIAN, JUMPA LAGI DI POSTING AKAN DATANG.
Rancanglah kewangan anda hari ini juga kerana gagal merancang itu merancang untuk gagal.
Klik link untuk lebih lanjut - linktr.ee/drkewangan




Comments